Kerajaan tambah baik PBS
Oleh MOHD. ASRON  MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
Muhyiddin Yassin menerima Resolusi Khas  Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) daripada Presiden NUTP, Hashim  Adnan (tiga dari kiri) pada Perhimpunan Khas Guru anjuran NUTP di Pusat  Konvensyen CIDB, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam. 
 
KUALA LUMPUR 3 Nov. - Kerajaan akan menambah baik sistem penaksiran  berasaskan sekolah (PBS) selepas Kementerian Pelajaran menerima banyak rungutan  daripada guru-guru.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, memandangkan  sistem tersebut masih baharu, sudah tentu ia akan mengambil masa untuk  diadaptasi tetapi beliau mengakui ada ruang yang perlu ditambah baik.
"Keluhan mengenai sistem PBS ini yang disuarakan melalui Kesatuan  Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) memang sudah dijangka. Sebelum ini pun  kita dapat maklum balas daripada guru-guru mengenai beberapa masalah seperti  kelewatan dan data komputer.
"Memandangkan ia sistem baharu, PBS perlu ditambah baik. Kementerian sedar  dan kita akan duduk berbincang kerana sudah ada beberapa cadangan penambahbaikan  dikemukakan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perhimpunan  Khas NUTP, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Presiden Kongres Kesatuan  Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Sistem PBS diperkenalkan bagi menambah baik sistem penilaian ke atas pelajar  dengan menggunakan standard prestasi kerana sebelum ini penilaian terhadap  pencapaian pelajar terlalu berorientasi peperiksaan.
Mula dilaksanakan pada tahun ini, usaha itu sejajar dengan langkah kerajaan  menambah baik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan memansuhkan peperiksaan  Penilaian Menengah Rendah (PMR) menjelang 2014.
Mengulas lanjut Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya  sentiasa terbuka kepada pandangan serta cadangan guru-guru dalam usaha menambah  baik PBS termasuk aspek yang dikatakan menjadi bebanan kepada tenaga  pengajar.
Mengenai lapan lagi tuntutan NUTP bagi meningkatkan profesion perguruan,  beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengkaji  saranan itu dan mana yang relevan akan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan  Awam (JPA).
Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memasukkan cadangan  yang relevan ke dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
"Kita akan berbincang, mana yang melibatkan kementerian dan relevan untuk  dilaksanakan kita akan lakukan. 
"Kementerian akan lihat, mana yang sesuai kita akan tambah tetapi sebahagian  besar daripada Pelan Awal Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah hasil  perbincangan dengan NUTP," katanya.
Sementara itu, ketika berucap merasmikan sambutan Hari UNESCO Malaysia dalam  satu majlis berasingan di sini, Muhyiddin berkata, transformasi pendidikan yang  akan dilakukan bukan sahaja bergerak seiring dengan aspirasi negara malah usaha  itu juga mengambil kira cabaran dan persaingan global pada abad ke-21 ini.
Katanya, langkah kerajaan mengkaji semula sistem pendidikan negara akan  meletakkan Malaysia di landasan terbaik bagi bersaing dengan negara-negara yang  maju. 
"Malaysia telah mengambil langkah mengkaji semula sistem pendidikan negara  mulai Oktober 2011 lalu dan telah menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan  Pendidikan Negara 2013-2025.
"Pelan ini yang menyediakan kerangka transformasi pendidikan secara  menyeluruh, dijangka mampu memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang  berkualiti dan bertaraf antarabangsa," katanya.
Artikel Penuh: 
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121104/dn_01/Kerajaan-tambah-baik-PBS#ixzz2BDMWZ9v2
©  Utusan Melayu (M) Bhd